Thursday, June 01, 2006

Hana-Bunga















1. このはなはきれいですね。(kono ha-na wa ki-rei desu)
Bunga ni cantiklah.

2. ほっかいどうはすごくきれいですね。(hokkai-dou wa su-go-ku ki-rei desu)
Hokkaido sungguh cantiklah.

3. せいしゅんきっぷをください。(sei-shun kippu wo ku-da-sai)
Saya nak beli tiket seishun.

Kalau pergi ke Jepun, tak sah kalau tak menjejakkan kaki ke Pulau Hokkaido. Pulau terbesar di utara Jepun. Pulau ini merupakan gedung makanan negara. Tanahnya subur, cuacanya nyaman. Pulau ini jugalah pulau paling sejuk di negara Jepun. Saya ke sana semasa saya di tahun dua pengajian. Sehingga hari ini ingatan itu masih basah. Saya bertolak dari Kobe ke Nagaoka dengan keretapi. Keretapi dalam bahasa Jepun kita sebut "densha". Apabila musim cuti sekolah bermula, JR, syarikat keretapi separa kerajaan akan mempromosikan tiket "seishun juhachi kippu" . Tiket murah dan paling untung untuk pelajar-pelajar Malaysia yang suka berjalan-jalan sepanjang cuti sekolah. Mereka yang tinggal di Hokkaido akan turun ke bawah, dan mereka yang tinggal di bahagian bawah akan naik ke atas. Memang meriah. Orang Malaysia adalah manusia paling untung. Sebab apa? Sebab network orang Malaysia di Jepun sangat kuat. Serata bumi Jepun ada rakyat Malaysia. Samada merumpun atau menyelerak. Jadi kita tidak memerlukan hotel. Pelajar-pelajar bangsa lain seperti Eropah atau Amerika tidak mempunyai kemudahan seperti ini kerana amalan liberal mereka. Tiket seishun direkacipta sememangnya untuk keuntungan JR tetapi ada mesej di situ. Mereka mahu orang-orang Jepun mengenang kembali tempat jatuh dan tempat bermain sewaktu kecil dahulu. Dengan itu kita dapat memulihkan semula semangat yang mula keletihan kerana kepenatan mengejar duniawi. Sama juga dengan kita, kadangkala keletihan dan kepenatan mencari pitis dan pangkat menyebabkan jiwa kita kacau. Sekali-sekala apa salahnya kita balik semula ke kampung bersama-sama adik-beradik atau kawan-kawan lama dan kita menelusuri masa silam. Masa saya kecil saya dan abang saya, adik saya , dan dua orang kakak saya seringkali bermain di bawah jambatan di sebuah sungai yang berhampiran dengan kebun mangga nenek saya. Kami makan-makan mangga cicah garam buku yang dibungkus dalam cebisan suratkhabar. Walaupun semuanya sudah dewasa dan beranak pinak, tetapi sekali-sekala bercerita dan melawat tempat jatuh dan bermain membuatkan kami makin akrab.Oppsss....abaikan kisah saya.Dari Nagaoka kami naik kereta sport kawan saya ke Aomori. Negeri yang terkenal dengan ladang epal yang sangat sedap.Dari situ kami naik Kapal ke Pelabuhan Hakodate. Dari situ kami ke Sapporo. Ibu negeri Hokkaido. Bermalam di rumah kawan kami yang belajar di Universiti Hokkaido. Esoknya bermulalah perantauan jalan-jalan cari makan dan berkhemah. Sungguh seronok dan nikmatnya hidup. Pada masa tu, musim panas baru sahaja bermula. Namun di Hokkaido masih lagi seolah-olah musim bunga. Ladang bunga matahari dan ladang bunga Lavenda mewarnai saujana hingga ke ufuk. Bunga-bunga matahari akan dituai dan dijadikan minyak.Lavenda pula akan dituai untuk dijadikan haruman. Aroma rapian lavenda menyegarkan. Jomlah lawati Hokkaido.

wassalam

0 Comments:

Post a Comment

<< Home