Tuesday, November 14, 2006

Bila Matematik Berbicara

Bismillah

Sudah sekian lama aku tidak menulis di sini. Bukan aku malas , kerana aku tahu aku memang seorang yang sangat rajin. Bukan kerana aku tak punya masa kerana aku juga dianugerahi 24-jam sehari sepertimana orang lain. Habis tu mengapa? Kerana aku tidak cukup bijak untuk menguruskan masa kurniaan Allah kepada ku. Hari ini aku ingin benar bercakap tentang matematik untuk peringkat awal bagi orang Melayu di Malaysia. Seperti yang kita telah sedia maklum, bukan sahaja di Malaysia malah di dunia seluruhnya sedang mengalami masalah yang sama. Matematik bukan lagi satu subjek penjana idea, tetapi matematik hanyalah peralatan untuk menyelesaikan masalah di Bumi. Apabila keadaan ini terjadi, maka musnahlah idea. Jadilah matematik sebagai satu koleksi formula dan rumusan. Ibu-bapa yang menyedari kepentingan matematik, mula menitik beratkan penguasaan matematik oleh anak-anak mereka seawal mungkin. Namun sayang sekali kesedaran itu hanyalah merujuk kepada pemahaman yang agak sempit. Anak saya pandai kira. Anak saya cepat mengira. Anak saya dapat A dalam matematik. Justeru kesudahannya matematik itu hanyalah semata-mata subjek pengiraan. Tuan-tuan yang saya hormati, matematik bukan nombor, matematik bukan formula. Tetapi matematik adalah idea. Nombor-nombor dan formula hanyalah shorthand- catatan ringkas untuk mengungkapkan idea yang tersirat dan tersurat. Catatan-catatan ringkas ini kemudiannya mengalami pelbagai pengcermatan yang lebih baik dari pengcermatan semalam. Sebagaimana pesan,gurau,ajar dan sindir dijelirakan oleh simpulan bahasa, begitu jua idea-idea yang berteraburan disusun, diolah, dikamir, dibeza, dan dipadan menjadi satu simpulan yang kukuh dan jitu yang kita namakan simpulan idea. Simpulan-simpulan idea inilah yang menerbitkan formula, rumusan, persamaan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home