Monday, June 05, 2006

Okyakusan-Tetamu

Bismillah

















1. いらっしゃいませ。(ira-sshai-ma-se)
Selamat datang.

2. またきてくださいね。(ma-ta ki-te kudasai ne)
Nanti datang lagi ye.

3. きずありますけど。(ki-zu ari-ma-su-ke-do)
tapi...ada cacat sedikit.

4. だいじょうぶです。(dai-jou-bu de-su)
Takper.

Hari tu saya janji nak cerita tentang konsep bisnes warga Jepun. Pertama-tama kali bila kita menjejaki kaki ke kedai, warung, gerai, pasaraya, pasar dan sebagaianya kita akan disambut dengan "I-rasshai-ma-se". Lebih kurang "selamat datang" lah maksudnya. Bahasa kebudayaan tidak akan ada perkataan yang serupa. Kalau adapun sipi-sipi sahaja. Samalah dengan bahasa kita, tidak ada perkataan bahasa Inggeris yang boleh menyerupai bahasa kebudayaan kita. Kadang-kadang saya tak suka perkataan "i-rasshai-ma-se" ni bila anak-anak remaja sambilan sebut. Sambilan-sambilan ini akan menjerit dari kejauhan bila nampak "tetamu" masuk ke kedai mereka. Bingit telinga kita. Kadang-kadang tidak ikhlas. Tapi tak mengapalah. Sekurang-kurangnya masih beradab. Saya masih ingat lagi cikgu Jepun saya cerita, sewaktu dia datang ke Malaysia, dia pergi ke sebuah kedai pakaian, pekedai itu datang dekat dan ucapkan "Mahu apa?" dan pekedai selalu sahaja memantau pergerakan beliau di dalam kedai menyebabkan dia merasa rimas. Ini adalah satu kesilapan kedai-kedai di Malaysia tidak kira mana-mana kaum, kita melayan pembeli sebagai "pencuri". Negara Jepun melayan pembeli sebagai "o-kya-ku-san" yang bermakna tetamu.Tetamu bukan seorang Raja! Ini bermakna sebagai tetamu kita mesti menghormati pekedai sebagai tuan rumah, dan tuan rumah mestilah melayan dan berkhidmat kepada tetamu. Tambah pula di dalam Islam, konsep tetamu adalah sangat dianjurkan. Tetamu membawa berkat. Bilamana kita melayan tetamu seolah-olah dia "pencuri" maka, berkat tidak akan turun. Pasaraya Jepun tidak pernah meminta kita menyimpan beg di luar kedai jika ingin masuk ke kedai mereka. Kedai buku pula membenarkan tetamu mereka masuk membaca secara percuma. Malah disediakan kerusi meja untuk membaca. Memang jika kita fikir ianya adalah merugikan, tetapi jangkamasa panjang, mereka menjadikan kita tetamu tetap. Kecuali komik!Tidak boleh baca tapi mesti beli. Jika kita menganggap pembeli adalah "raja" maka ini akan membebankan pekedai! Dikhuatiri ada pembeli yang akan menyalahgunakan kuasa yang diberikan. Jarang sekali kami diperhatikan sepertilah kami ini pencuri, tetapi kami dilayan seperti tetamu. Inilah rahsia kejayaan ekonomi Jepun. Patut kita pelajari. Islam adalah agama syumul dan ideal. Nilai-nilai Islam itu bertaburan di atas muka bumi. Sedikit pada orang Melayu, sedikit pada orang Cina, sedikit pada orang India, sedikit pada orang Jepun, sedikit pada orang Arab, sedikit pada orang Eropah. Inilah yang kalau kita boleh namakan sebagai mutiara hikmah yang perlu dikutip. Jadi sangat perlu orang Melayu jika ingin berjaya dan bahagia mengutip mutiara-mutiara hikmah yang dimiliki oleh bangsa-bangsa lain di pentas dunia dan digilap dengan iman dan Islam serta Ihsan. Maka lengkaplah bangsa ini. Memang orang Jepun tidak beriman, dan banyak nilainya bercanggah dengan iman kita, tetapi nilai mulia sedikit yang dimiliki mereka itu adalah serpihan Islam yang perlu kita kutip untuk menjadikan kita mukmin sejati. Saya masih ingat lagi sewaktu saya membeli sebuah pemanas. Waktu itu musim sejuk baru bermula. Ketika sampai di kaunter sewaktu saya ingin membayarnya, jurujual itu memeriksa pemanas itu. "Okyakusan, ko-ko ni chotto ki-zu arimasu-kedo".."Tuan, di sini ada sedikit cacat, Tuan nak beli ke?"...dia pun cuba mencari yang lebih elok.Tapi tak ada...sudah habis. "Beginilah,..kami tidak boleh menjual barangan yang ada cacat cela kepada tetamu kami, tapi kalau Tuan benar-benar mahu, kami akan turunkan harganya. Tuan setuju?"...Saya setuju sahajalah. Ye lah . Kemek sedikit sahaja. Tidak memberi kesan bahaya pun kepada saya. Saya pun tak perasan kemek tu. Tetapi kejujuran itu menyebabkan saya sayang pada kedai itu dan hasilnya saya selalu singgah di situ. Bukankah itu semangat perniagaan yang ditunjukcontohkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada kita. Inilah serpihan hikmah yang kita perlu kutip. Walaupun datangnya dari orang Jepun! Apabila saya ingin keluar dari kedai itu sambilan-sambilan itu akan melaungkan "ari-ga-tou go-zai-masu, ma-ta ki-te kudasai!" -"terima kasih tuan, nanti datang lagi ye!". Jom kita belanja.

wassalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home