Wednesday, June 28, 2006

Belajar Bahasa Jepun

Bismillah

Pengumuman- Kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk belajar Bahasa Jepun, bolehlah hubungi saya di berkatkasih@yahoo.com. Tawaran ini percuma untuk 3 orang pertama. Cepat-cepat jangan terlambat. Tempat ialah di Kampus UIA.

Tuesday, June 13, 2006

Onigiri-Nasi Kepal

Bismillah.

1. おにぎりください。(o-ni-gi-ri ku-da-sai)
Berikan saya onigiri ye.

2. おかあさん、おにぎりつくってくれる?(o-kaa-san ,o-ni-gi-ri tsu-kutte-ku-re-ru?)
Mak, boleh tolong buatkan onigiri?

3. このおにぎりまずい!(ko-no oni-giri ma-zui)
Onigiri ini tak sedap!

4. でんしゃのなかでおにぎりをたべました。(den-sya no na-ka de oni-giri wo ta-be-ma-shi-ta)
Saya dah makan onigiri di dalam keretapi.


"Gi-ri" maknanya "kepal". Kepalnya lebih kurang sebesar penumbuk. Onigiri ialah sejenis makanan segera orang-orang Jepun. Sarapan dengan seketul dua onigiri sudah cukup mengenyangkan. Dua ketul juga sudah terlalu banyak. Sebagai orang Islam, hidup di Jepun telah membantu saya belajar tentang "jin-sei" iaitu sebuah kehidupan. Saya belajar berdikari. Berdiri di atas kaki sendiri. Belajar membuat makanan sendiri. Selama di Tanahair, kita disuap dengan makanan siap yang dijual di gerai-gerai yang kadangkala diragui kesuciannya dan kebersihannya. Apatah lagi khasiatnya. Di Jepun kami belajar membuat roti sendiri, pizza sendiri, pasta sendiri. Masakan Jepun pun kami masak sendiri. Kalau kita ke kedai-kedai serbaneka seperti Lawson, Family Mart dan sebagainya kita akan dapati tidak banyak makanan siap yang kita orang Islam boleh makan. Cuma onigiri. Itupun masih ada beberapa jenis yang tidak boleh dinikmati kerana alkoholnya. Onigiri secara amnya ialah nasi kepal berinti yang dibalut dengan rumpai "no-ri". No-ri ialah sejenis rumpai laut yang dikeringkan dan dinipiskan. Kemudian nori tersebut disalai untuk menjadikannya rangup krok-krap. Ada nori mentah ,ada nori salai, ada nori salai lemak masin. Saya suka makan nori salai lemak masin. Ini kerana nori salai lemak masin agak nipis dan sedap dimakan begitu sahaja. Pernah suatu masa dahulu saya bawa pulang Onigiri ke Malaysia. Dua belas biji saya beli. Dan yang melucukan, tiada siapa yang hendak habiskan. Rasa rumpai no-ri tidak digemari oleh keluarga saya. Walaupun abang saya penggemar makanan Jepun. Hari itu sahaja menghabiskan kesemua duabelas kepal onigiri itu. Onigiri pula ada banyak jenis, ada onigiri tuna, ada onigiri konbu, ada onigiri chaa-han dan berbagai-bagai lagi. Hmmm...selepas saya mencari, saya dapati selain daripada dipanggil Onigiri, nasi kepal ini juga dipanggil "O-mu-su-bi". Pada zaman dahulu, orang-orang rumah akan menyediakan "onigiri" untuk suami mereka sebagai bekalan bersawah padi atau berkebun sayur. Onigiri yang sudah diisi dengan inti akan dibalut dengan rumpai nori dan dibungkus menggunakan daun buluh kering. Kalau orang-orang di Malaysia membungkus makanan dengan daun pisang kering, maka orang-orang Jepun pula menggunakan daun-daun buluh. Kalau orang miskin pada zaman dahulu mereka akan makan onigiri garam sahaja. Nasi digaulkan dengan garam yang ditabur, kemudian dikepal-kepal menjadi lonjong, atau bulat, atau segitiga.Oh ya...bentuk onigiri biasanya lonjong, bulat atau segitiga. Makan nasi sambil berjalan adalah suatu perkara yang janggal, tetapi nasi yang sudah dikepal boleh!"Gyo-gi wa-rui".Agak kurang sopan maksudnya.Tetapi kesibukan memaksa kita. Beras kita tidak boleh dibuat nasi kepal, nanti berderai jatuh nasinya. Beras Jepun lembik dan melekit sedikit. Senang dikepal-kepal.Di Kelantan, misalnya sewaktu saya masih kecil ayah seringkali membuat nasi pulut ikan kering kepal. Nasi pulut yang ditanak diisikan dengan secubit ikan kering kemudian dikepal-kepal dan digotel dengan nyiur parut masin.Sedap. Tentu ini boleh jadi satu idea untuk kita jual Pulut Kepal di kedai serbaneka kita. Dibalut dengan daun pisang.



wassalam

Wednesday, June 07, 2006

Shiawase-Bahagia












Sekarang dah masuk bulan Jun. Dalam Bahasa Jepun kita sebut "ro-ku-gat-su". Iaitu bulan keenam. Cerita pasal kalendar Jepun sikit. Di Jepun, dua jenis kelendar digunapakai. Satu kalendar tradisional, satu lagi ialah kalendar barat. Kalendar tradisional yang paling banyak digunapakai. Setakat yang saya tahu,cuma tahun yang berubah. Haribulan tidak berubah. Saya rasa tahun-tahun ditetapkan berdasarkan kepada pemerintahan Tenno.
a. 1868-1912 (+-1867) ialah zaman Meiji.
b. 1912-1926 (+-1911) ialah zaman Taisho.
c. 1926-1989 (+-1925) ialah zaman Showa.
d. 1989-sekarang (+-1988) ialah zaman Heisei.

Katakanlah saya lahir pada 10.05.1980 maka mengikut kalendar Jepun saya lahir pada zaman Showa. Jadi kad pengenalan saya di Jepun mestilah bertarikh 10.05.Showa55.Macam mana nak kira tu? Senang sahaja.Kalau awak lahir pada 11.07.1999 maka mengikut kalendar Jepun, awak lahir pada zaman Heisei.Tolakkan dengan 1988.Jadi tarikh lahir awak ialah 11.07.Heisei11.Mmmm...Kalau dari kalendar Jepun nak tukar kepada kalendar barat bagaimana?Contohnya 15.09.Heisei5. Senang sahaja.Tambahkan 5 + 1988 = 1993.Kalau perhatikan kat atas tu, saya ada tulis (+-1867),(+-1911),(+-1925)dan (+-1988). Kalau dari kalendar barat ---> kalendar Jepun, tolakkan. Kalau dari kalendar Jepun ---> Kalendar barat, tambahkan. Senangkan. Tetapi saya tak hafal tarikh-tarikh ni semua. Kalau kita isi borang di Jepun,kita kena isi tarikh dalam sistem kalendar Jepun.Tau apa yang saya buat? Saya tulis dalam sistem kalendar barat. Nanti kerani tu akan tolong tukarkan. Sekarang ni musim apa ye di Jepun. Masih lagi sejuk agaknya. Bulan tujuh nanti barulah masuk musim panas. Saya rindu nak dengar bunyi cengkerik bernyanyi. Kalau awak pergi ke Jepun, bunyi cengkerik nilah yang paling awak benci. Sebulan dia berkaraoke. Memekak sepanjang siang. Pulak tu siang awal dan panjang. Memang tak boleh tidur. Tetapi bila balik ke Malaysia rindu pada cengkerik tu. Semasa saya di Jepun, orang Jepun sangat suka pada anak-anak ikan "me-da-ka". Ikan yang tidak ada warna dan tidak menarik langsung. Matanya pula agak besar. Budak-budak kecik menangguknya untuk di simpan di dalam balang. Kadang-kadang untuk pelajaran sains di sekolah. Tetapi apabila kita sudah memasuki budaya mereka, maka kita, saya akan merindukan "me-da-ka". Terkenang-kenang pada medaka yang berenang-renang sekeluarga bersama-sama ayah,ibu,adik,kakak,abang dan sepupu-sepapat di dalam sungai yang jernih. Bersembunyi di sebalik batu-batu. Bahagia."shi-a-wa-se". Tapi itu semua tinggal kenangan. Peluang yang sukar saya perolehi di Malaysia kerana sungai-sungai kita sudah mula dicemari dengan tangan-tangan jahat manusia yang tidak pernah merasa kasihan pada ikan-ikan dan udang-udang kecil. Suatu masa dahulu tentu sungai kita bersih dan jernih kan.Tetapi kilang-kilang dan perumahan yang mendadak banyaknya mengalirkan sisa-sisa nista mereka ke sungai tempat sekawan ikan bermain. Mereka hilang tempat bermain. Mereka hilang tempat bersukaria. Mereka hilang tempat mencari anak-anak udang. Anak-anak udang lari. Anak-anak udang mati. Mereka hilang tempat melompat-lompat. Hilang tempat membesar. Yang ada hanya sampah dan lendir.Sisa-sisa nista manusia yang tamak.Tamak pada pitis.


wassalam

Monday, June 05, 2006

Okyakusan-Tetamu

Bismillah

















1. いらっしゃいませ。(ira-sshai-ma-se)
Selamat datang.

2. またきてくださいね。(ma-ta ki-te kudasai ne)
Nanti datang lagi ye.

3. きずありますけど。(ki-zu ari-ma-su-ke-do)
tapi...ada cacat sedikit.

4. だいじょうぶです。(dai-jou-bu de-su)
Takper.

Hari tu saya janji nak cerita tentang konsep bisnes warga Jepun. Pertama-tama kali bila kita menjejaki kaki ke kedai, warung, gerai, pasaraya, pasar dan sebagaianya kita akan disambut dengan "I-rasshai-ma-se". Lebih kurang "selamat datang" lah maksudnya. Bahasa kebudayaan tidak akan ada perkataan yang serupa. Kalau adapun sipi-sipi sahaja. Samalah dengan bahasa kita, tidak ada perkataan bahasa Inggeris yang boleh menyerupai bahasa kebudayaan kita. Kadang-kadang saya tak suka perkataan "i-rasshai-ma-se" ni bila anak-anak remaja sambilan sebut. Sambilan-sambilan ini akan menjerit dari kejauhan bila nampak "tetamu" masuk ke kedai mereka. Bingit telinga kita. Kadang-kadang tidak ikhlas. Tapi tak mengapalah. Sekurang-kurangnya masih beradab. Saya masih ingat lagi cikgu Jepun saya cerita, sewaktu dia datang ke Malaysia, dia pergi ke sebuah kedai pakaian, pekedai itu datang dekat dan ucapkan "Mahu apa?" dan pekedai selalu sahaja memantau pergerakan beliau di dalam kedai menyebabkan dia merasa rimas. Ini adalah satu kesilapan kedai-kedai di Malaysia tidak kira mana-mana kaum, kita melayan pembeli sebagai "pencuri". Negara Jepun melayan pembeli sebagai "o-kya-ku-san" yang bermakna tetamu.Tetamu bukan seorang Raja! Ini bermakna sebagai tetamu kita mesti menghormati pekedai sebagai tuan rumah, dan tuan rumah mestilah melayan dan berkhidmat kepada tetamu. Tambah pula di dalam Islam, konsep tetamu adalah sangat dianjurkan. Tetamu membawa berkat. Bilamana kita melayan tetamu seolah-olah dia "pencuri" maka, berkat tidak akan turun. Pasaraya Jepun tidak pernah meminta kita menyimpan beg di luar kedai jika ingin masuk ke kedai mereka. Kedai buku pula membenarkan tetamu mereka masuk membaca secara percuma. Malah disediakan kerusi meja untuk membaca. Memang jika kita fikir ianya adalah merugikan, tetapi jangkamasa panjang, mereka menjadikan kita tetamu tetap. Kecuali komik!Tidak boleh baca tapi mesti beli. Jika kita menganggap pembeli adalah "raja" maka ini akan membebankan pekedai! Dikhuatiri ada pembeli yang akan menyalahgunakan kuasa yang diberikan. Jarang sekali kami diperhatikan sepertilah kami ini pencuri, tetapi kami dilayan seperti tetamu. Inilah rahsia kejayaan ekonomi Jepun. Patut kita pelajari. Islam adalah agama syumul dan ideal. Nilai-nilai Islam itu bertaburan di atas muka bumi. Sedikit pada orang Melayu, sedikit pada orang Cina, sedikit pada orang India, sedikit pada orang Jepun, sedikit pada orang Arab, sedikit pada orang Eropah. Inilah yang kalau kita boleh namakan sebagai mutiara hikmah yang perlu dikutip. Jadi sangat perlu orang Melayu jika ingin berjaya dan bahagia mengutip mutiara-mutiara hikmah yang dimiliki oleh bangsa-bangsa lain di pentas dunia dan digilap dengan iman dan Islam serta Ihsan. Maka lengkaplah bangsa ini. Memang orang Jepun tidak beriman, dan banyak nilainya bercanggah dengan iman kita, tetapi nilai mulia sedikit yang dimiliki mereka itu adalah serpihan Islam yang perlu kita kutip untuk menjadikan kita mukmin sejati. Saya masih ingat lagi sewaktu saya membeli sebuah pemanas. Waktu itu musim sejuk baru bermula. Ketika sampai di kaunter sewaktu saya ingin membayarnya, jurujual itu memeriksa pemanas itu. "Okyakusan, ko-ko ni chotto ki-zu arimasu-kedo".."Tuan, di sini ada sedikit cacat, Tuan nak beli ke?"...dia pun cuba mencari yang lebih elok.Tapi tak ada...sudah habis. "Beginilah,..kami tidak boleh menjual barangan yang ada cacat cela kepada tetamu kami, tapi kalau Tuan benar-benar mahu, kami akan turunkan harganya. Tuan setuju?"...Saya setuju sahajalah. Ye lah . Kemek sedikit sahaja. Tidak memberi kesan bahaya pun kepada saya. Saya pun tak perasan kemek tu. Tetapi kejujuran itu menyebabkan saya sayang pada kedai itu dan hasilnya saya selalu singgah di situ. Bukankah itu semangat perniagaan yang ditunjukcontohkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada kita. Inilah serpihan hikmah yang kita perlu kutip. Walaupun datangnya dari orang Jepun! Apabila saya ingin keluar dari kedai itu sambilan-sambilan itu akan melaungkan "ari-ga-tou go-zai-masu, ma-ta ki-te kudasai!" -"terima kasih tuan, nanti datang lagi ye!". Jom kita belanja.

wassalam.

Sunday, June 04, 2006

Lagu-Uta

Bismillah









1. このうたがいいですね。(ko-no u-ta ga ii-de-su-ne)
Lagu ni baguslah.

2. このうたがだいすきです。(ko-no u-ta ga dai-su-ki de-su)
Saya suka sangat lagu ni.

3. うったてくれる?(u-tatte ku-re-ru?)
Boleh tolong nyanyi?

4. うるさい!(u-ru-sai!)
Bisinglah!


Semasa saya berada di Jepun, mendengar lagu sungguh menyeronokkan. Terus terang saya katakan, saya memang sukakan lagu. Walaupun mungkin melalaikan. Tidak keterlaluan kalau saya katakan hidup orang Jepun dipenuhi dengan lagu. Artisnya tersangatlah ramai. Tenggelam dan timbul. Bila orang muda naik, orang lama turunlah pentas. Begitulah adat dunia kan. Tidak ada orang yang boleh menghalangnya selagi persaingan adalah adil. Saya pun tidak tahu samada ini satu kebaikan atau keburukan untuk Negara Jepun apabila anak-anak mudanya ramai yang berminat untuk jadi artis. Akan tetapi kemajuan Jepun dalam mempertahankan harta intelek negara, memberi jaminan kepada artis-artis yang masyhur. Ramai artis yang menjadi kaya-raya. Malahan ada yang menjadi jutawan. Apa yang dapat saya lihat di Negara Jepun rakyat ditanam jitu membenci sebarang hasilan tiruan dan cetak rompak. Dengan itu akta tidak perlu dipaksakan ke atas rakyat. Harta intelek milik artis-artis Malaysia juga perlu dipertahankan. Nilai budaya dan akhlak artis Malaysia juga semakin hari semakin bagus dengan kehadiran artis berilmu. Artis seperti M.Nasir, Raihan, Mawi, Inteam dan lain-lain menyerlahkan personaliti artis berilmu. Kebagusan seseorang artis itu bukan hanya terletak pada suaranya sahaja. Tetapi kebagusan itu juga terletak pada nilai diri dan nilai pesanan yang dimuatkan pada lagunya. Lagu-lagu di Jepun mempunyai nilai dan jatidiri tersendiri. Walaupun ada juga lagu-lagu yang merapu dan merepek. Lagu Jepun sentiasa berubah-ubah mengikut musim, tetapi lagu musim bunga dan musim panas yang paling banyak. Ye la kan, takkan di musim bunga nak dengar lagu musim sejuk. Mengikut pengetahuan saya, kedai-kedai tidak boleh memasang mana-mana lagu di kedainya melainkan setelah di tandatangani perjanjian dengan syarikat rakaman. Lagu-lagu yang masyhur akan dipasang di kedai-kedai yang telah berjanji. Lagu yang paling saya ingat ialah lagu "sa-ka-na". Maknanya ialah "ikan". Kedai ikan pasaraya Daie memasang lagu "sa-ka-na". Lagu ini dinyanyikan dengan suara yang memikat hati kanak-kanak. Satu galakan untuk memakan ikan segar."sa-ka-na o sa-ka-na, sa-ka-na wo ta-be-ru-to,a-ta-ma o a-ta-ma, a-ta-ma ga yo-ku-na-ru".Maksudnya ialah "ikan oh ikan, andai kita makan ikan, akal oh akal, akal akan menjadi baik". Banyak lagi lagu-lagu yang baik. Satu lagi ialah lagu "Mam-bi-ki". Mambiki ialah perbuatan ketek iaitu mencuri barang di kedai-kedai seperti kedai buku dan kedai serbaguna. Semakin hari semakin menjadi-jadi masalah ketek yang dilakukan oleh anak-anak sekolah. Bukannya tidak ada pitis, tetapi saja suka-suka. Pelbagai cara yang dilakukan untuk membanterasnya tetapi agak sukar kerana kadang-kadang boleh menyebabkan pergaduhan antara pekedai dan pengetek. Jadi cara yang terbaik ialah dengan memasang lagu "mambiki". Apabila pekedai mengesyaki ada tetamu ingin mengetek di kedainya dia akan memasang lagu "Mambiki". Hasilnya sungguh memberangsangkan! Nanti saya akan ceritakan tentang konsep tetamu di kedai Jepun.Wassalam.

Thursday, June 01, 2006

Hana-Bunga















1. このはなはきれいですね。(kono ha-na wa ki-rei desu)
Bunga ni cantiklah.

2. ほっかいどうはすごくきれいですね。(hokkai-dou wa su-go-ku ki-rei desu)
Hokkaido sungguh cantiklah.

3. せいしゅんきっぷをください。(sei-shun kippu wo ku-da-sai)
Saya nak beli tiket seishun.

Kalau pergi ke Jepun, tak sah kalau tak menjejakkan kaki ke Pulau Hokkaido. Pulau terbesar di utara Jepun. Pulau ini merupakan gedung makanan negara. Tanahnya subur, cuacanya nyaman. Pulau ini jugalah pulau paling sejuk di negara Jepun. Saya ke sana semasa saya di tahun dua pengajian. Sehingga hari ini ingatan itu masih basah. Saya bertolak dari Kobe ke Nagaoka dengan keretapi. Keretapi dalam bahasa Jepun kita sebut "densha". Apabila musim cuti sekolah bermula, JR, syarikat keretapi separa kerajaan akan mempromosikan tiket "seishun juhachi kippu" . Tiket murah dan paling untung untuk pelajar-pelajar Malaysia yang suka berjalan-jalan sepanjang cuti sekolah. Mereka yang tinggal di Hokkaido akan turun ke bawah, dan mereka yang tinggal di bahagian bawah akan naik ke atas. Memang meriah. Orang Malaysia adalah manusia paling untung. Sebab apa? Sebab network orang Malaysia di Jepun sangat kuat. Serata bumi Jepun ada rakyat Malaysia. Samada merumpun atau menyelerak. Jadi kita tidak memerlukan hotel. Pelajar-pelajar bangsa lain seperti Eropah atau Amerika tidak mempunyai kemudahan seperti ini kerana amalan liberal mereka. Tiket seishun direkacipta sememangnya untuk keuntungan JR tetapi ada mesej di situ. Mereka mahu orang-orang Jepun mengenang kembali tempat jatuh dan tempat bermain sewaktu kecil dahulu. Dengan itu kita dapat memulihkan semula semangat yang mula keletihan kerana kepenatan mengejar duniawi. Sama juga dengan kita, kadangkala keletihan dan kepenatan mencari pitis dan pangkat menyebabkan jiwa kita kacau. Sekali-sekala apa salahnya kita balik semula ke kampung bersama-sama adik-beradik atau kawan-kawan lama dan kita menelusuri masa silam. Masa saya kecil saya dan abang saya, adik saya , dan dua orang kakak saya seringkali bermain di bawah jambatan di sebuah sungai yang berhampiran dengan kebun mangga nenek saya. Kami makan-makan mangga cicah garam buku yang dibungkus dalam cebisan suratkhabar. Walaupun semuanya sudah dewasa dan beranak pinak, tetapi sekali-sekala bercerita dan melawat tempat jatuh dan bermain membuatkan kami makin akrab.Oppsss....abaikan kisah saya.Dari Nagaoka kami naik kereta sport kawan saya ke Aomori. Negeri yang terkenal dengan ladang epal yang sangat sedap.Dari situ kami naik Kapal ke Pelabuhan Hakodate. Dari situ kami ke Sapporo. Ibu negeri Hokkaido. Bermalam di rumah kawan kami yang belajar di Universiti Hokkaido. Esoknya bermulalah perantauan jalan-jalan cari makan dan berkhemah. Sungguh seronok dan nikmatnya hidup. Pada masa tu, musim panas baru sahaja bermula. Namun di Hokkaido masih lagi seolah-olah musim bunga. Ladang bunga matahari dan ladang bunga Lavenda mewarnai saujana hingga ke ufuk. Bunga-bunga matahari akan dituai dan dijadikan minyak.Lavenda pula akan dituai untuk dijadikan haruman. Aroma rapian lavenda menyegarkan. Jomlah lawati Hokkaido.

wassalam

suugaku-matematik

Bismillah








1. すうがくがきらい。(suu-ga-ku ga ki-rai)
Saya tak suka matematik.

2. すうがくがだいすき。(suu-ga-ku ga dai-su-ki)
Saya sangat suka matematik.

3. けいさんがとくいです。(Kei-san ga to-kui desu)
Saya mahir dalam kira-kira.

4. あなたのけいさんはおそいですね。(Ana-ta no kei-san wa o-soi desu-ne)
Awak mengira lambat betul.

Fobia matematik? Saya tak pasti tapi saya rasa orang Jepun juga fobia dengan nombor-nombor. Terutamanya golongan Hawa di Jepun. Mereka kebanyakannya cuba lari dari matematik. Kalau kita lihat di Jabatan Matematik agak sukar untuk menemui pelajar atau guru matematik perempuan. Wanita-wanita Jepun lebih suka kepada bidang-bidang kesusateraan, kelas-kelas sains sosial. Selain itu mereka lebih cenderung kepada bidang-bidang persuratan. Kalau kita melawat sekolah-sekolah Jepun, mereka agak fobia kepada matematik. Fobia tidak bermakna mereka tidak pandai matematik. Malah mereka lebih terkehadapan dalam bidang matematik jika dibandingkan dengan Malaysia. Namun bukan pula bermakna kita menidakkan kebolehan orang Malaysia. Selagi mana kita adalah manusia kita mempunyai kebolehan yang boleh diasah.Malaysia Boleh. Cuma, kaedah pembelajaran matematik sekarang perlu kepada perubahan sedikit. Orang Jepun sebut "kaizen"...Maknanya membuat evolusi kaedah pembelajaran yang lebih baik dari semasa ke semasa. Buku-buku teks di Jepun sentiasa berubah-ubah menjadi lebih baik. Jadi adalah sangat perlu kita buat "anketo"...iaitu soalselidik dari semasa ke semasa untuk tahu tindakbalas pendidik dan pelajar kita. Di Jepun akhir-akhir ini semua perkara hendak dibuat "anketo". Ini mungkin kesan daripada persaingan yang sangat sengit, menyebabkan mana-mana institusi tidak boleh selesa dengan zon aman yang dibinanya. Senantiasa ada mata-mata yang mengintai kita untuk mengatasi kita. Perkembangan matematik dan sains semasa juga perlu sering diperhalusi. Kaedah pembelajaran yang lebih mudah untuk difahami, dan pembelajaran bukan berasaskan peperiksaan semata-mata. Kita tidak boleh berada di takuk lama untuk selama-lamanya. Ini kerana perubahan zaman sentiasa menghasilkan ilmu baru dan pengetahuan baru membolehkan kita lebih memahami perkara-perkara lama dengan lebih senang. Setiap kali kita berada di zon aman, kita mestilah mencari puncak-puncak yang lebih tinggi untuk didaki. Ini kerana setiap kali kita berhenti rehat pasti ada orang lain yang mendaki. Ini bukan bermakna kita mesti berlawan antara satu sama lain, tetapi ini adalah satu langkah supaya kita tak merasa rendah diri. Sebagai contoh, di kala kita sudah menguasai bahasa Inggeris, orang Jepun masih merangkak mempelajari bahasa itu. Kita tidak boleh duduk berdiam diri. Ini kerana apabila orang Jepun sudah mula menguasai Bahasa Inggeris, mereka akan menjadi setaraf dengan kita dari segi bahasa. Maka kita akan kehilangan kelebihan kita sebagai bangsa lidahnuri. Kita mestilah sentiasa meningkatkan kebolehan kita dari semasa ke semasa. Kebolehan yang ada bukanlah untuk meninggikan diri, apatah lagi untuk bongkak, tetapi ia adalah perisai supaya kita terselamat daripada direndah-rendahkan dan ditipu. Jadi cubalah untuk menguasai semangat "kaizen" supaya kita kekal "uptodate".


wassalam